Friday, January 28, 2011

99 Speedmart Menyalurkan Hasil Kutipan RM30,000 Dari Kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik'Kepada Global Environment Centre(GEC)


Sg. Buloh, 21 Januari 2011 (Jumaat) - Kumpulan pasarakyat 99 Speedmart
pada hari ini memberi sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Global
Environment Centre (GEC), sebuah badan bukan kerajaan yang bertumpu
pada isu-isu alam sekitar di Malaysia. Sumbangan tersebut disalurkan
daripada kutipian 99 Speedmart yang menyertai kempen "Hari Tanpa Beg
Plastik" anjuran Kerajaan Negeri Selangor.

Penyampaian cek dibuat oleh Quek Teng Hiong, pengurus besar 99
Speedmart Sdn Bhd dan disaksikan oleh YB Elizabeth Wong, EXCO
Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Kerajaan Negeri
Selangor. Upcara tersebut diadakan di cawangan 99 Speedmart di Bandar
Baru Sungai Buloh.

Dengan lebih 200 cawangan di Lembah Klang, 99 Speedmart merupakan
salah satu penyokong kempen "Hari Tanpa Beg Plastik" yang terawal dan
terpenting, sejak usaha tersebut dilancarkan pada permulaan tahun
2010. Usaha Kerajaan Negeri Selangor tersebut bertujuan untuk
mengurangkan penggunaan beg plastik di negeri ini melalui satu kempen
sukarela yang kini disertai oleh lebih dari 80 peruncit.

Setiap hari Sabtu, peruncit-peruncit ini menggalakkan pengguna untuk
membawa bersama beg membeli-belah mereka sendiri dengan mengenakan
bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik yang diberi. Kutipan duit ini
disalurkan kepada program tanggungjawab sosial korporat (CSR),
kebajikan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Kempen "Hari Tanpa Beg Plastik" ini amat berjaya sehingga Kerajaan
Persekutuan mengikuti jejak langkah Kerajaan Negeri Selangor melalui
kempen yang serupa di seluruh negara.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua peruncit yang bantu
menjayakan kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik' yang dianjurkan oleh
Kerajaan Negeri Selangor," kata Wong. "Melalui usaha mereka, kita
telah berjaya mengurangkan lebih dari 4 juta beg plastik pada tahun
lepas. Di samping itu, kita juga berjaya meningkatkan kesedaran rakyat
Selangor terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Pada hari ini,
melalui 99 Speedmart dan GEC, kita dapat melihat satu lagi hasil
kempen ini, iaitu penyaluran duit kutipan kempen terhadap usaha yang
baik."

"Ini merupakan cara kami untuk menunjukkan kepada rakyat betapa
pentingnya melindungi alam sekitar melalui pengurangan kegunaan beg
plastik," kata Quek. "Terbukti juga janji kami bahawa kesemua kutipan
melalui kempen ini akan disalurkan terhadap perlindungan bumi untuk
generasi akan datang."

"Kami berasa amat bersyukur kerana dipilih untuk menerima sumbangan
ini dan ingin memberi penghargaan kepada 99 Speedmart kerana menyertai
kempen 'Hari Tanpa Beg Plastik,'" kata Chee Tong Yiew, pengurus GEC
yang menerima cek tersebut. "Kempen tersebut bukan sahaja berjaya
mengurangkan penggunaan beg plastik tetapi juga membawa faedah secara
tidak langsung kepada penjagaan alam sekitar, misalnya melalui
sumbangan seperti ini."

Menurut Chee, sumbangan tersebut akan digunakan oleh GEC untuk
menyokong aktiviti kesedaran alam sekitar seperti program penjagaan
sungai di peringkat sekolah, aktiviti Renjer Sungai seperti pemantauan
kualiti air dan program kitar semula, dan juga aktiviti pemeliharaan
dan pemuliharaan hutan bakau di Klang.

No comments:

Post a Comment